Saturday, March 13, 2010

Marah Itu Sampah Perasaan=)

Assalamualaikum w.b.t
Ini adalah karya saya pada tahun 2007 yang ingin diberikan nafas baru=)

Kenapa kita perlu marah? Kenapa kita mesti emosional? Kenapa kita mesti biarkan diri kita dan pemikiran kita berada dalam keadaan yang tidak tenang sedangkan kita mempunyai pilihan untuk memberi keselesaan terhadap diri sendiri? Adakah kita perlukan pihak lain untuk mengawal tingkah-laku dan corak kehidupan kita seharian?
Bukankah kita dianugerahkan akal untuk menentukan apa yang terbaik buat diri kita sendiri?

Emosi adalah suatu sikap dan marah adalah suatu perasaan dalam diri setiap manusia. Namun, emosi dan perasaan marah ini adalah suatu pilihan dan bukannya suatu ketetapan bagi setiap manusia. Sekiranya hati kita disakiti sebenarnya kita mempunyai pilihan sama ada untuk mengeluarkan perasaan marah tersebut ataupun membiarkan perasaan itu berlalu pergi begitu sahaja. Percayalah bahawasanya, tidak begitu susah untuk kita mengukir sebuah senyuman di kala kita merasa begitu marah. Yang menjadi masalahnya, kita terlalu mengikut emosi dan membiarkan perasaan ego menyelubungi diri kita. Itu yang menjadikan perasaan marah itu semakin menebal dan seterusnya menutup ruang untuk diri kita mengukir senyuman.

Apabila anda merasa marah, mungkin pemikiran sebegini boleh membantu anda. Mula-mula anda anggapkan perasaan marah itu sebagai sebuah objek yang biasa anda biarkan iaitu “sampah”. Kemudian, anda bayangkan diri anda melukis sebuah kotak yang besar. Seterusnya, anda ambillah “sampah” tersebut dan masukkan ke dalam kotak tersebut lalu tendanglah atau tolaklah kotak itu jauh dari hidup anda. Sekarang lihat, anda telah membuang satu masalah daripada menyemakkan hidup anda. Percaya atau tidak terpulanglah kepada anda sama ada ingin mencuba ataupun tidak.

Kenapa kita mesti marah sedangkan kita tahu amatlah tidak seronok berada dalam situasi begitu? Kebiasaannya kita akan marah apabila hak kita diganggu, kebebasan kita disekat atau yang paling kerap terjadi kerana kita dikritik, dihentam atau diekspoitasi oleh pihak lain. Kita tinggalkan isu hak dan kebebasan tetapi mari kita berbincang tentang kritikan dan ekspoitasi.

Sebenarnya tidak salah kita dikritik atau dieksploitasi oleh mana-mana pihak kerana dengan cara tersebutlah kita dapat melihat kelemahan diri kita dan seterusnya memikirkan cara untuk mengubah diri kita. Namun, yang menjadi masalahnya, kita tidak memberi ruang kepada diri sendiri untuk dikritik dan diekspoitasi. Kita terlalu mengharapkan pujian diberikan sehinggakan kita asyik dengan kata-kata tersebut. Sudah lumrah kehidupan alam, setiap perkara itu mestilah ada keseimbangannya. Begitu juga dengan diri kita sendiri. Kita tidak boleh mengharapkan pujian sahaja tetapi kita juga perlu mengharapkan kepada kritikan. Jika tidak, tiadalah kemanisan hidup. Selagi kita hidup, janganlah kita menanti pujian orang kerana kebiasaannya kita jarang mendapat pujian selagi kita masih hidup. InsyaAllah, setelah kita meninggal akan ramailah yang akan memuji kebaikan kita.

Di saat kita merasa begitu tertekan dek kerana dikritik atau dieksploitasi, mengapa tidak kita jadikan tekanan itu sebagai pendorong untuk kita memajukan diri sendiri. Dan, di ketika kita berasa begitu marahkan seseorang, kenapa tidak kita mengubah tanggapan terhadap si dia dengan mencari kebaikan dirinya. Ya, mungkin dia jahat, tetapi sejahat-jahat manusia masih mempunyai sifat baik dan mahu berubah menjadi insan mulia.

Akhir kata, janganlah kita biarkan diri kita terlepas daripada menikmati keseronokan kerana sifat marah itu akan membunuh segala kegembiraan yang sewajarnya kita nikmati.
Ingatlah pesanan ini;

“Perasaan itu suatu Pilihan, Bukan suatu Ketetapan”.

Satu lagi karya Mohdhanis
21/11/2007
Nantikan karya seterusnya “Bersatu Kita Roboh, Bercerai Kita Teguh!”

4 comments:

FaizalSulaiman said...

agreed.biasanya marah disebabkan hak diganggu selain faktor lain yang menyakitkan..

Miss Lula said...

betol tu, betol..
kalau marah, cecepat amek wudhul.. :D

hanismalik said...

Faizal: Tp marah best kn?=)

Lula: Ok...Terima kasih=)

Mohd Shahrul Hafizi said...

...aku seorang yg baran dan moody. *sigh*