Percutian ke Bandung, Indonesia
Assalamualaikum..
bertemu kita kembali setelah sekian lama saya tidak mengisi ruangan blog ini. Pada kali ini saya ingin berkongsi pengalaman serta keseronokan saya ketika percutian ke Bandung baru-baru ini. InsyaAllah saya akan cuba sebaik mungkin mengarang cerita ini agar semua pembaca turut merasai keseronokan yang saya alami sepanjang berada di sana.
Tanggal 26 Julai 2007 baru-baru ini buat pertama kalinya saya menjejakkan kaki ke ibu kota Bandung. Percutian ini turut disertai oleh kedua ibu bapa saya, kakak dan bapa saudara beserta isterinya. Kami berlepas dari Terminal LCC dengan menaiki pesawat Air Asia, Boeing 737 pada pukul 8.00 pagi waktu Malaysia dan tiba di Lapangan Terbang Bandara Husein Sastranegara Bandung tepat pukul 8.45 pagi waktu tempatan( 9.45 pagi waktu Malaysia). Ketika tiba di sana, kami dimaklumkan bahawa suhu di luar adalah 17˚C. Kami berasa sungguh teruja dan tidak sabar untuk menjejakkan kaki buat pertama kalinya. Sebaik sahaja kami keluar dari pesawat terasa udaranya yang begitu dingin. Sememangnya sangat berbeza dengan suhu di Malaysia.
Ketibaan kami sememangnya telah dinantikan oleh supir yang kami panggil dengan nama Ayee. Destinasi kami yang pertama pada hari tersebut adalah mencari tempat penginapan iaitu di Villa Puri Larasati, Jalan Kanayakan Lama, Dago Atas yang berkonsepkan keluarga dan terletak tidak jauh dari kota Bandung. Setelah ‘check-in’ kami menuju ke sebuah kedai makan memandangkan perut pun sudah lapar. Menu kami yang pertama pada hari itu adalah Nasi Padang. Walaupun pernah dengar mengenai Nasi Padang tapi itulah kali pertama saya melihat dan merasainya. Sama ada perut yang sudah lapar atau memang masakannya sedap, namun saya menjamahnya dengan penuh berselera sekali.
Kemudian tanpa membuang masa kami terus menuju ke destinasi seterusnya iaitu Pasar Baru yang merupakan pendorong utama kedatangan kami ke ibu kota Bandung. Pasar Baru merupakan pusat utama penjualan barangan keluaran rakyat tempatan berada dalam sebuah bangunan setinggi 8 tingkat. Sebaik melangkah ke dalam Pasar Baru, saya seolah-olah terasa berada di dalam Pasar Khadijah, Kota Bharu, Kelantan dan Pasar Payang di Kuala Terengganu kerana konsepnya hampir sama dari segi susunan kedai dan jumlah pengunjung yang tidak putus-putus. Bezanya, ketika di Pasar Baru saya seolah-olah menjadi orang kaya baru kerana berpeluang memegang duit ratusan ribu. Selain itu, harga pakaian dan barangan lain di sana sangat murah dibandingkan dengan kualitinya yang tinggi. Bayangkan anda berpeluang membeli seluar jeans ‘original’ dengan harga puluhan ringgit sahaja berbanding di Malaysia yang harganya mampu mencecah ratusan ringgit.
Kemesraan yang ditunjukkan oleh setiap peniaga di sana merancakkan lagi keseronokan membeli-belah. Ditambah pula dengan kepuasan ‘mencuci mata’ cewek-cewek di sana, terasa hilang segala kepenatan walaupun hampir 3 jam kami ‘shopping’ di sana. Namun, hari pertama saya cuma sempat membeli sehelai baju ala Punjabi kerana lebih banyak ‘survey’ dari membeli.
Pukul 3 petang, setelah selesai menunaikan solat di surau tingkat atas Pasar Baru, kami bergerak ke sebuah lokasi yang terkenal dengan pelbagai jenis barangan kulit seperti beg, dompet, kasut dan pelbagai lagi. Harga setiap barangan di sana juga jauh amat murah dibandingkan di Malaysia.
Pukul 5 petang menuju pula ke Rumah Mode iaitu salah sebuah ‘Factory Outlet’. Menurut Ayee, di kota Bandung terdapat begitu banyak ‘Factory Outlet’ iaitu hampir di setiap jalan di bandar tersebut. Di ‘Factory Outlet’ kita boleh mencari pelbagai jenis barangan berjenama dengan harga yang amat murah kerana semuanya ‘direct’ dari kilang. Bagi yang terasa letih setelah seharian ber”shopping’ bolehlah ke rumah urut di situ. Urutan bagi refleksiologi cuma sebanyak 32,000 rupiah iaitu lebih kurang RM13 selama sejam. Setelah penat berjalan dan ber’shopping’, perut pun sudah lapar kami segera ke Warung Nasi Ampera makanan kaum Sunda atau lebih senang digelar Makanan Sunda. Menariknya, makanan ini disertakan dengan pelbagai jenis ulaman seperti kubis, sawi, terung kecil, tempe dan sebagainya tetapi kurang berkuah. Sambal terasi/belacannya yang pedas manis menambahkan lagi selera makan pada malam itu. Setelah selesai kami terus pulang ke villa untuk berehat.
Keesokan paginya, kami keluar pada pukul 8.30 pagi. Memandangkan pada waktu itu kedai masih tutup, Ayee membawa kami melawat ke sebuah bangunan tinggalan sejarah yang kini menjadi Kantor Gabernur Jawa Barat dan terletak bersebelahan Dataran Bambu Runcing. Seterusnya, kami menuju ke Jeans Street iaitu lokasi tumpuan bagi yang bercadang untuk mencari pelbagai jenis pakaian jeans. Sambil ber’shoping’ saya sempat mencuba sejenis makanan tempatan iaitu Batagor. Rasanya sungguh enak sekali dengan bayaran 5000 rupiah sepinggan. Sempat juga saya ‘tergoda’ dengan pujuk rayu seorang penjual jalanan agar membeli pen buluh yang dijadikan cenderahati. Daripada 20,000 rupiah untuk 10 batang dapatlah saya tawar menjadi 15,000 rupiah untuk 20 batang. Okeylah tu untuk jadikan hadiah pada kawan-kawan.
Pukul 12.30, kami sekali lagi menuju ke Pasar Baru memandangkan semalam belum puas ‘shopping’ di sana. Bayangkanlah, pasar 8 tingkat hendak ‘round’ dalam sehari, manalah cukup. Mula-mula kami menunaikan solat sebelum ke ‘foodcourt’ untuk mengisi perut. Saya memilih untuk makan nasi Timbel iaitu makanan Sunda yang dibungkus dengan daun pisang beserta jus Alpokat iaitu sejenis jus buah Avocado dicampur dengan perisa Mocha.
Hari ini, saya cuma sempat pusing satu tingkat di bawah sahaja. Itupun masih belum habis lagi memandangkan begitu banyak kedai di setiap tingkat. Lebih kurang pukul 6 petang, kami keluar dari dari sana dan menuju ke ‘Factory Outlet’ yang lain iaitu Terminal Tas dan juga FORMEN yang terletak bersebelahan antara satu sama lain. FORMEN merupakan kedai yang khusus menjual pakaian dan barangan lelaki sahaja. Malam itu, kami memilih untuk makan makanan Acheh di Pujasera DU 21. Di sana anda boleh memesan pelbagai jenis minuman seperti jus Alpokat, jus jeruk kelapa, jus timun, jus tomat dan sebagainya. Kali ini saya memilih Nasi Goreng Acheh Special bersama jus laici. Rasanya sungguh enak sekali. Kami menuju pulang ke Villa Puri Larasati setelah selesai menjamu selera. Kepenatan yang dirasai kami terjemahkan ke atas katil.
Hari ketiga, kami keluar awal pagi iaitu pada pukul 8 pagi untuk menuju ke Taman Wisata Alam, Gunung Tangkuban Perahu, Bandung-WEST JAVA. Kami memilih untuk pergi pada hari ini memandangkan hari ini hari Sabtu. Pada hari ini, orang-orang dari Jakarta dan tempat yang lain akan turun ke Bandung untuk bercuti di samping pergi ‘shopping’ yang menyebabkan keadaan lalu lintas di sekitar ibu kota menjadi amat sibuk dan padat. Sebelum pergi kami sempat ke pusat ‘Money Changer’ memandangkan duit rupiah kami hampir habis dek kerana sakan ber’shopping’.
Perjalanan ke puncak mengambil masa kira-kira sejam sahaja. Ini kerana Ayee membawa kami melalui jalan dalam iaitu jalan alternatif untuk menuju ke sana. Menurutnya, hanya orang Bandung sahaja yang mahir selok-belok jalan tersebut menyebabkan masa yang sepatutnya hampir 2 jam melalui lebuhraya dapat disingkatkan. Sepanjang perjalanan kami dapat melihat pemandangan yang cantik sekali di sekitar lereng pergunungan ditambah pula udaranya yang segar. Hati rasa terpahat seolah-olah ingin saja menetap terus di perkampungan sana. Kami tiba di Gunung Tangkuban P erahu lebih kurang pukul 11 pagi waktu tempatan. Setiap pengunjung dikenakan bayaran sebanyak 10,000 rupiah sekali masuk.
Seperti sudah kelaziman di sana, ketibaan kami disambut dengan puluhan peniaga jalanan yang menawarkan pelbagai jenis barangan seperti ‘key-chain’, replika kapal, pen buluh, dan banyak lagi. Gelagat mereka yang ‘muka tebal’ untuk terus mengekori kami sambil menunjukkan barangan yang dijual kadang-kala terasa lucu dan kadang-kala terasa geram pun ada. Hajat untuk membeli satu set busar dan anak panah yang diperbuat daripada buluh terpaksa dimatikan gara-gara risau tidak lepas di ‘airport’ nanti. Keadaan di Gunung Tangkuban Perahu lebih sejuk lagi dibandingkan dengan di ibu kota Bandung. Sepanjang di Bandung ini, amat jaranglah untuk saya berpeluh memandangkan udaranya yang terasa sungguh nyaman. Setelah puas bergambar dan bersiar-siar di sekitar puncak dan deretan kedai kami pun beredar dari sana. Saya memilih replika kapal yang dapat dikurangkan dari 80,000 rupiah kepada 25,000 rupiah untuk dijadikan kenang-kenangan sebagai bukti sudah tiba di puncak Gunung Tangkuban Perahu.
Destinasi seterusnya adalah Sari Ater Hot Spring Resort yang terletak tidak jauh dari Gunung Tangkuban Perahu. Bayaran masuknya Cuma 90,000 rupiah untuk 7 orang iaitu sekitar 13,000 rupiah seorang. Di sini, pengunjung boleh merasai sendiri kehangatan kolam air panas bagi melancarkan peraliran darah serta menghilangkan keletihan. Saya berasa bertuah kerana dapat merasai sendiri kehangatan airnya walaupun hanya merendamkan kaki sahaja.
Setelah puas, kami pun beredar dari sana untuk mencari gerai makanan memandangkan jam pun sudah menunjukkan lebih kurang pukul 2 petang. Sekali lagi, menu kami pada hari itu adalah makanan Sunda. Saya turut memesan jus strawberi memandangkan banyak buah strawberi yang ditanam di sekitar pergunungan itu.
Selesai makan, kami pun bertolak pulang ke ibu kota Bandung dan langsung ke Pasar Baru memandangkan jam baru menunjukkan pukul 4 petang. Memandangkan ini hari terakhir saya di sini sebelum pulang keesokan harinya, saya tidak mahu membuang begitu banyak masa lagi untuk membeli barangan yang patut. Pada hari itu, keadaan Pasar Baru sungguh sesak dengan pengunjung disebabkan hari cuti. Oleh kerana Pasar Baru dibuka hingga pukul 5.30 petang sahaja maka saya tidak sempat membeli banyak barang. Duit di tangan pun masih banyak lagi kira-kira 200 ribu lebih. Itulah akibatnya kalau terlalu memilih akhirnya tidak sempat langsung ber’shoping’. Menariknya di Bandung ini, untuk berbelanja 5,000 rupiah terasa sangat banyak tetapi untuk berbelanja RM2 di Malaysia terasa sungguh ringan. Itulah yang menyebabkan wujudnya keseronokan dalam tawar-menawar bersama peniaga di sana. Malam itu kami dibawa makan malam di restoran Bakso Kota yang terkenal dengan resipi bakso dari Malang, Surabaya. Selesai makan kami pun pulang ke Villa Puri Larasati untuk mengemas barang dan berehat.
29 Julai 2007, hari terakhir kami di Bandung. Terasa sungguh berat untuk ke ‘airport’. Empat hari di Bandung terasa sungguh cepat berlalu. Kami ‘check-out’ pada pukul 7 pagi dan terus ke ‘airport’. Pesawat Air Asia Boeing 737 berlepas lebih kurang pukul 9.30 pagi waktu tempatan dan tiba di Terminal LCC pada pukul 12.15 tengah hari waktu Malaysia.
Bagi yang mempunyai perancangan untuk bercuti, saya berani mengesyorkan Bandung sebagai salah satu pilihan utama anda. Sekian..
3 comments:
huh, panjang betul crita pasal bandung. anyway, sy suka batagor jgk!! haha..
hehe...nnt blanjer sy batagor ek? bulan 7 nih=)
boleh bagi no tel supir..name ayee 2..harga bape sehari..email sy
shail_k9@yahoo.com
Post a Comment