Saturday, July 12, 2008

Bersatu Kita Roboh, Bercerai Kita Teguh


CONVERGENCE VERSUS DIVERGENCE

CONVERGENCE = Bersatu, bersama, bergabung dan lain-lain.

DIVERGENCE = Berpisah, bercerai, bercambah dan lain-lain.

Saya kelihatannya mungkin suka menidakkan hukum dan ketetapan alam. Selama ini kita telah diasuh dan dididik agar sentiasa bersatu-padu untuk menjadi masyarakat yang kuat. Atas dasar itulah wujudnya peribahasa “Bersatu kita teguh, Bercerai kita roboh” dan “Bulat air kerana pembentung, Bulat manusia kerana muafakat.”

Namun percaya atau tidak, disebabkan oleh peribahasa-peribahasa tersebutlah orang Melayu semakin lama semakin lemah dan sukar untuk berjaya. Saya tidaklah menolak 100% peribahasa tersebut, tetapi untuk menjadi seorang yang berjaya, kita haruslah keluar daripada belengu kata-kata tersebut. Bagi mereka yang hanya inginkan hidup yang selamat dan risiko yang minimum, silakanlah terus hidup berpegangkan peribahasa tersebut.

Orang berjaya adalah orang yang berani dan sanggup menghadapi pelbagai risiko. Untuk berjaya juga, kita harus menjadi individu yang lain daripada yang lain. Kita haruslah membuat sesuatu yang berbeza dan belum pernah orang lain lakukan. Jika anda hanya mengikut contoh perbuatan dan kejayaan orang lain, anda sebenarnya tidak berjaya. Anda hanyalah ibarat “Pat Turut”. Pak Turut ini orangnya tidak mampu berfikir mengikut konteks pemikiran sendiri.

Makanya, untuk menjadi seorang yang berbeza, setiap tindak-tanduk dan pemikiran anda juga haruslah berbeda. Anda perlu membuat sesuatu yang belum pernah orang lain lakukan atau belum pernah terfikir untuk dilaksanakan. Amat penting untuk kita menjadi seorang peneraju /pertama dalam sesuatu bidang atau kategori bagi memastikan apa yang anda lakukan itu mampu berjaya dan bertahan lama. That is what we called Survival Of The Firstest.

Perumpamaannya, kita gambarkan dengan 2 biji benih yang dijatuhkan ke atas tanah. Mungkin atas faktor sudut kejatuhan setiap biji benih tersebut, atau mungkin atas faktor kedalaman setiap biji benih itu di dalam tanah, namun atas sesuatu sebab satu biji benih itu akan bercambah dahulu dan diikuti oleh biji benih kedua sehari dua kemudian. Bagi setiap peringkat pertumbuhan, benih pertama akan tumbuh lebih tinggi, kuat dan tahan kepada rintangan alam. Selepas suatu masa, benih pertama akan tumbuh menjadi pohon yang lebih besar dan menghalang cahaya matahari daripada sampai kepada pohon kedua. Maka, pohon kedua akan layu dan mati.

Untuk menghuraikan tajuk di atas, kita cuba kaji pada sebuah pohon. Semakin bercambahnya sesuatu dahan dan ranting bagi pohon tersebut, maka semakin banyaklah daun dan buahnya. Jika kita bayangkan sebuah pohon yang hanya mempunyai sebatang dahan dan sebatang ranting, mampukah ia memberikan hasil yang sama banyak seperti pohon yang pertama tadi? Begitu jugalah dengan kehidupan kita sebagai manusia. Charles Darwin juga pernah memberikan ideanya tentang “Great Tree Of Life” iaitu;

“The affinities of all the being of the same class have sometimes been represented by a great tree. The green and budding twigs may represent existing spesies; and those produced during each year may represent the long succession of extinct species. At each period of growth all the growing twigs have tried to branch out on all sides, and to overtop and kill the surrounding twigs and branches, in the same manner as species and groups of species have tried to overmaster other species in the great battle for life.”

CONTOH

Untuk menggambarkan tajuk di atas dengan lebih jelas, kita lihat contoh-contoh di bawah.

  1. Pada peringkat awalnya hanya wujud satu jenis computer, tetapi kini sudah wujud “mainframe computers”, “midrange computers”, “network computers”, “personal computers”, “laptop computer”, dan juga “handled computers”. Komputer tersebut tidak bersatu/bergabung dengan teknologi lain tetapi sebaliknya ia bercambah/berpisah dengan wujudnya pelbagai teknologi yang lain.

  2. Radio pula kini mempunyai pelbagai jenis seperti radio mudah alih, radio kereta, radio yang boleh dipakai(walkman), dan radio jam. Radio tersebut bukan bersatu/bergabung dengan medium yang lain tetapi ia bercambah/berpisah dengan medium-medium yang lain.

Hanya dengan percambahan/pemisahan kita dapat mewujudkan lebih banyak
peluang untuk sesuatu yang baru. Peluang sebenarnya bukan wujud dalam pasaran yang telah sedia ada, tetapi peluang sebenarnya wujud dalam pasaran yang belum diterokai.

Kita ambil contoh minuman ringan. Begitu banyak jenis minuman ringan di pasaran seperti root beer, oren, lemon, sarsi dan sebagainya. Namun, coca-cola boleh menjadi jenama yang hebat dan terkenal kerana mereka membuka satu pasaran baru yang dinamakan “cola”.

Red Bull pula menjadi suatu jenama yang besar kerana membuka pasaran minuman ringan baru yang digelar “minuman tenaga”.

Begitu juga dengan Microsoft. Microsoft tidak menjadi sebuah syarikat yang besar disebabkan membuat sistem operasi computer peribadi yang lebih baik. Kebanyakan pakar lebih memberikan kredit kepada Macintosh atas faktor rupanya yang menarik dan perasaan yang lebih ketika menggunakannya. Namun, Microsoft menjadi kuat kerana menjadi yang pertama memperkenalkan sistem komputer 16-bit yang merupakan percambahan daripada sistem komputer 8-bit.

Untuk menguatkan hujah saya bahawa “Bersatu kita roboh”, kita lihat contoh seperti Nokia N-Gage. Adakah begitu hebat idea apabila telefon bimbit digabungkan dengan mesin permainan video dan pemain MP3? Berapa ramaikah remaja yang meminati permainan video mampu membayar RM300 untuk telefon bimbit, ditambah pula dengan kos-kos setiap bulan bagi pelan suara dan online games? Begitu juga nilai setiap game baru yang ingin dibeli serta nilai kad multimedia supaya mereka boleh mendengar muzik MP3? Walaubagaimana hebatpun idea penggabungan itu, Nintendo Game Boy yg berharga RM100 masih menjadi pilihan remaja.

Contoh di dalam negara pula kita lihat seperti Media Prima dengan Astro. Media Prima menggunakan konsep penyatuan antara TV3, NTV7, 8TV dan TV9. Manakala Astro menggunakan konsep percambahan/pemisahan melalui program-programnya. Adakah dengan wujudnya gabungan TV3, NTV7, 8TV dan TV9 menjadikan mereka saluran yang lebih baik? Saya merasakan konsep Astro lebih praktikal kerana pengguna boleh memilih saluran dan program-program mengikut cita rasa mereka pada bila-bila masa sahaja sama ada mahu melihat drama, berita, sukan, masakan dan sebagainya. Berbanding dengan konsep Media Prima, pengguna terpaksa mengikut segala program yang telah ditetapkan.

Kenapa TV3 masih menjadi saluran televisyen nombor satu negara? Ini kerana, TV3 merupakan peneraju bagi stesen televisyen swasta yang pertama di Malaysia yang mana program-programnya bukan atas dasar kepentingan kerajaan.

Pentingnya untuk kita menjadi yang pertama atau peneraju adalah disebabkan 2 faktor:

  1. Persepsi masyarakat akan mengatakan jenama yang pertama mestilah yang terbaik. Jika ada jenama yang kedua, jenama pertama akan mengekalkan kekuasaannya. Ibarat pohon pertama menghalang cahaya matahari daripada sampai kepada pohon kedua. Contohnya, walaupun Pepsi mampu membuat minuman yang lebih sedap daripada Coca-Cola, namun orang akan tetap mengatakan Coca-Cola yang terbaik kerana persepsi itu sudah tertanam dalam minda seseorang tersebut.

  2. Persepsi kedua, masyarakat akan sentiasa menganggap jenama yang pertama adalah yang asli(original).

Kita sudah membicarakan betapa pentingnya untuk kita menjadi yang pertama dalam melakukan/mencipta sesuatu. Namun, itu bukanlah tiket untuk anda terus mengalah daripada turut melakukan/mencipta sesuatu konsep yang sama seperti yang telah dilakukan oleh orang lain. Asalkan anda masih percaya dengan kata-kata saya iaitu “Bercerai kita teguh”, anda masih ada harapan untuk berjaya. Apa yang perlu anda lakukan adalah memikirkan cara perlaksanaannya dari sudut bertentangan dengan apa yang telah individu pertama tadi lakukan. Dengan cara ini anda masih membuka pasaran baru anda sendiri.

Perumpamaannya, kita gambarkan dengan tiga biji benih lalu dijatuhkan ke atas tanah. 2 biji benih di atas tadi jatuh berdekatan antara satu sama lain, manakala biji benih yang ketiga jatuh agak jauh daripada 2 biji benih tersebut. Maka, benih ketiga masih mampu bercambah dengan baik dan mendapat cahaya matahari yang mencukupi. That is what we called Survival Of The Secondest.

Untuk menterjemahkannya secara realiti dalam kehidupan, adalah lebih baik saya biarkan anda sendiri yang memikirkan cara perlaksanaannya.

Kesimpulannya, orang yang berjaya adalah orang yang mampu berfikir dan bertindak dengan cara yang berbeza daripada apa yang telah orang lain lakukan. Sekian, terima kasih.

Satu lagi karya Mohdhanis

22 Mac 2008

1,229 PATAH PERKATAAN

No comments: