Saturday, July 12, 2008

Bersatu Kita Roboh, Bercerai Kita Teguh


CONVERGENCE VERSUS DIVERGENCE

CONVERGENCE = Bersatu, bersama, bergabung dan lain-lain.

DIVERGENCE = Berpisah, bercerai, bercambah dan lain-lain.

Saya kelihatannya mungkin suka menidakkan hukum dan ketetapan alam. Selama ini kita telah diasuh dan dididik agar sentiasa bersatu-padu untuk menjadi masyarakat yang kuat. Atas dasar itulah wujudnya peribahasa “Bersatu kita teguh, Bercerai kita roboh” dan “Bulat air kerana pembentung, Bulat manusia kerana muafakat.”

Namun percaya atau tidak, disebabkan oleh peribahasa-peribahasa tersebutlah orang Melayu semakin lama semakin lemah dan sukar untuk berjaya. Saya tidaklah menolak 100% peribahasa tersebut, tetapi untuk menjadi seorang yang berjaya, kita haruslah keluar daripada belengu kata-kata tersebut. Bagi mereka yang hanya inginkan hidup yang selamat dan risiko yang minimum, silakanlah terus hidup berpegangkan peribahasa tersebut.

Orang berjaya adalah orang yang berani dan sanggup menghadapi pelbagai risiko. Untuk berjaya juga, kita harus menjadi individu yang lain daripada yang lain. Kita haruslah membuat sesuatu yang berbeza dan belum pernah orang lain lakukan. Jika anda hanya mengikut contoh perbuatan dan kejayaan orang lain, anda sebenarnya tidak berjaya. Anda hanyalah ibarat “Pat Turut”. Pak Turut ini orangnya tidak mampu berfikir mengikut konteks pemikiran sendiri.

Makanya, untuk menjadi seorang yang berbeza, setiap tindak-tanduk dan pemikiran anda juga haruslah berbeda. Anda perlu membuat sesuatu yang belum pernah orang lain lakukan atau belum pernah terfikir untuk dilaksanakan. Amat penting untuk kita menjadi seorang peneraju /pertama dalam sesuatu bidang atau kategori bagi memastikan apa yang anda lakukan itu mampu berjaya dan bertahan lama. That is what we called Survival Of The Firstest.

Perumpamaannya, kita gambarkan dengan 2 biji benih yang dijatuhkan ke atas tanah. Mungkin atas faktor sudut kejatuhan setiap biji benih tersebut, atau mungkin atas faktor kedalaman setiap biji benih itu di dalam tanah, namun atas sesuatu sebab satu biji benih itu akan bercambah dahulu dan diikuti oleh biji benih kedua sehari dua kemudian. Bagi setiap peringkat pertumbuhan, benih pertama akan tumbuh lebih tinggi, kuat dan tahan kepada rintangan alam. Selepas suatu masa, benih pertama akan tumbuh menjadi pohon yang lebih besar dan menghalang cahaya matahari daripada sampai kepada pohon kedua. Maka, pohon kedua akan layu dan mati.

Untuk menghuraikan tajuk di atas, kita cuba kaji pada sebuah pohon. Semakin bercambahnya sesuatu dahan dan ranting bagi pohon tersebut, maka semakin banyaklah daun dan buahnya. Jika kita bayangkan sebuah pohon yang hanya mempunyai sebatang dahan dan sebatang ranting, mampukah ia memberikan hasil yang sama banyak seperti pohon yang pertama tadi? Begitu jugalah dengan kehidupan kita sebagai manusia. Charles Darwin juga pernah memberikan ideanya tentang “Great Tree Of Life” iaitu;

“The affinities of all the being of the same class have sometimes been represented by a great tree. The green and budding twigs may represent existing spesies; and those produced during each year may represent the long succession of extinct species. At each period of growth all the growing twigs have tried to branch out on all sides, and to overtop and kill the surrounding twigs and branches, in the same manner as species and groups of species have tried to overmaster other species in the great battle for life.”

CONTOH

Untuk menggambarkan tajuk di atas dengan lebih jelas, kita lihat contoh-contoh di bawah.

  1. Pada peringkat awalnya hanya wujud satu jenis computer, tetapi kini sudah wujud “mainframe computers”, “midrange computers”, “network computers”, “personal computers”, “laptop computer”, dan juga “handled computers”. Komputer tersebut tidak bersatu/bergabung dengan teknologi lain tetapi sebaliknya ia bercambah/berpisah dengan wujudnya pelbagai teknologi yang lain.

  2. Radio pula kini mempunyai pelbagai jenis seperti radio mudah alih, radio kereta, radio yang boleh dipakai(walkman), dan radio jam. Radio tersebut bukan bersatu/bergabung dengan medium yang lain tetapi ia bercambah/berpisah dengan medium-medium yang lain.

Hanya dengan percambahan/pemisahan kita dapat mewujudkan lebih banyak
peluang untuk sesuatu yang baru. Peluang sebenarnya bukan wujud dalam pasaran yang telah sedia ada, tetapi peluang sebenarnya wujud dalam pasaran yang belum diterokai.

Kita ambil contoh minuman ringan. Begitu banyak jenis minuman ringan di pasaran seperti root beer, oren, lemon, sarsi dan sebagainya. Namun, coca-cola boleh menjadi jenama yang hebat dan terkenal kerana mereka membuka satu pasaran baru yang dinamakan “cola”.

Red Bull pula menjadi suatu jenama yang besar kerana membuka pasaran minuman ringan baru yang digelar “minuman tenaga”.

Begitu juga dengan Microsoft. Microsoft tidak menjadi sebuah syarikat yang besar disebabkan membuat sistem operasi computer peribadi yang lebih baik. Kebanyakan pakar lebih memberikan kredit kepada Macintosh atas faktor rupanya yang menarik dan perasaan yang lebih ketika menggunakannya. Namun, Microsoft menjadi kuat kerana menjadi yang pertama memperkenalkan sistem komputer 16-bit yang merupakan percambahan daripada sistem komputer 8-bit.

Untuk menguatkan hujah saya bahawa “Bersatu kita roboh”, kita lihat contoh seperti Nokia N-Gage. Adakah begitu hebat idea apabila telefon bimbit digabungkan dengan mesin permainan video dan pemain MP3? Berapa ramaikah remaja yang meminati permainan video mampu membayar RM300 untuk telefon bimbit, ditambah pula dengan kos-kos setiap bulan bagi pelan suara dan online games? Begitu juga nilai setiap game baru yang ingin dibeli serta nilai kad multimedia supaya mereka boleh mendengar muzik MP3? Walaubagaimana hebatpun idea penggabungan itu, Nintendo Game Boy yg berharga RM100 masih menjadi pilihan remaja.

Contoh di dalam negara pula kita lihat seperti Media Prima dengan Astro. Media Prima menggunakan konsep penyatuan antara TV3, NTV7, 8TV dan TV9. Manakala Astro menggunakan konsep percambahan/pemisahan melalui program-programnya. Adakah dengan wujudnya gabungan TV3, NTV7, 8TV dan TV9 menjadikan mereka saluran yang lebih baik? Saya merasakan konsep Astro lebih praktikal kerana pengguna boleh memilih saluran dan program-program mengikut cita rasa mereka pada bila-bila masa sahaja sama ada mahu melihat drama, berita, sukan, masakan dan sebagainya. Berbanding dengan konsep Media Prima, pengguna terpaksa mengikut segala program yang telah ditetapkan.

Kenapa TV3 masih menjadi saluran televisyen nombor satu negara? Ini kerana, TV3 merupakan peneraju bagi stesen televisyen swasta yang pertama di Malaysia yang mana program-programnya bukan atas dasar kepentingan kerajaan.

Pentingnya untuk kita menjadi yang pertama atau peneraju adalah disebabkan 2 faktor:

  1. Persepsi masyarakat akan mengatakan jenama yang pertama mestilah yang terbaik. Jika ada jenama yang kedua, jenama pertama akan mengekalkan kekuasaannya. Ibarat pohon pertama menghalang cahaya matahari daripada sampai kepada pohon kedua. Contohnya, walaupun Pepsi mampu membuat minuman yang lebih sedap daripada Coca-Cola, namun orang akan tetap mengatakan Coca-Cola yang terbaik kerana persepsi itu sudah tertanam dalam minda seseorang tersebut.

  2. Persepsi kedua, masyarakat akan sentiasa menganggap jenama yang pertama adalah yang asli(original).

Kita sudah membicarakan betapa pentingnya untuk kita menjadi yang pertama dalam melakukan/mencipta sesuatu. Namun, itu bukanlah tiket untuk anda terus mengalah daripada turut melakukan/mencipta sesuatu konsep yang sama seperti yang telah dilakukan oleh orang lain. Asalkan anda masih percaya dengan kata-kata saya iaitu “Bercerai kita teguh”, anda masih ada harapan untuk berjaya. Apa yang perlu anda lakukan adalah memikirkan cara perlaksanaannya dari sudut bertentangan dengan apa yang telah individu pertama tadi lakukan. Dengan cara ini anda masih membuka pasaran baru anda sendiri.

Perumpamaannya, kita gambarkan dengan tiga biji benih lalu dijatuhkan ke atas tanah. 2 biji benih di atas tadi jatuh berdekatan antara satu sama lain, manakala biji benih yang ketiga jatuh agak jauh daripada 2 biji benih tersebut. Maka, benih ketiga masih mampu bercambah dengan baik dan mendapat cahaya matahari yang mencukupi. That is what we called Survival Of The Secondest.

Untuk menterjemahkannya secara realiti dalam kehidupan, adalah lebih baik saya biarkan anda sendiri yang memikirkan cara perlaksanaannya.

Kesimpulannya, orang yang berjaya adalah orang yang mampu berfikir dan bertindak dengan cara yang berbeza daripada apa yang telah orang lain lakukan. Sekian, terima kasih.

Satu lagi karya Mohdhanis

22 Mac 2008

1,229 PATAH PERKATAAN

Jangan Jadi Diri Sendiri!!!


Assalamualaikum WBT! Selamat sejahtera semua…


Bertemu lagi kita seperti yang telah saya janjikan dalam karya sebelum ini. Diharap karya saya pada kali ini dapat ditulis dengan lebih teliti, padat dan mampu menarik minat lebih ramai pembaca. Dalam karya saya pada kali ini, saya akan cuba memberikan kelainan dalam idea saya yang mana ini mungkin akan membuatkan anda semua termenung sejenak dan kemudiannya mengiayakan kata-kata saya. Jika diperhatikan dalam karya-karya saya yang sebelum ini pun, anda semua boleh melihat di mana saya cuba mengetengahkan idea-idea yang lain daripada yang lain atau jarang diperbincangkan. Ini kerana, saya cuba mengajak anda semua supaya menjadi insan yang mahu berfikir dan berani mempersoalkan sesuatu. Bukan sekadar menjadi insan yang hanya tahu mengangguk dan menerima setiap perkara yang ditetapkan. Amatlah penting untuk kita menjadi insan yang berbeza daripada yang lain untuk mencapai kejayaan dalam hidup kita ini.


Mungkin ada yang mempersoalkan kenapa kita mesti menjadi berbeza ? Bukankah kita sepatutnya bangga menjadi diri kita sendiri. Jika anda tanya kepada saya, jawapan saya adalah siapa diri anda yang sebenarnya ? Adakah anda benar-benar mengenali diri anda ? Anda banggakah menjadi diri anda selama ini ? Sudah berapa banyakkah kejayaan yang anda perolehi selama ini dengan menjadi diri anda itu? Bagi yang merasa dirinya sudah berjaya, cukupkah kejayaan anda itu? Tidakkah anda mahukah yang lebih daripada itu? Bagi yang ingin berfikir, teruskan membaca.


Sebenarnya, tiada istilah “Menjadi Diri Sendiri” dalam hidup ini mengikut pendapat saya. Ini kerana, kita mempunyai kesemua ciri-ciri yang diperlukan untuk menjadi siapa sahaja yang kita mahukan. Bergantung kepada individu itu sendiri untuk menentukan corak kehidupan yang mereka mahu lalui berdasarkan kesemua ciri-ciri dan sifat-sifat yang sememangnya telah tertanam dalam diri masing-masing. Maksud menjadi berbeza seperti yang saya sebutkan sebentar tadi adalah untuk merujuk kepada lari daripada kebiasaan. Kita selama ini diibaratkan seperti sebuah komputer yang telah diprogramkan agar berfungsi mengikut arahan atau peraturan yang telah ditetapkan. Namun, kita lupa, kita dijadikan oleh Allah SWT untuk berfikir dan membawa pembaharuan kepada dunia ini agar sama-sama dapat menikmati kemakmuran dan kenikmatan hidup di dunia ini.


Istilah “Menjadi Diri Sendiri” ini sebenarnya telah banyak merosakkan diri kita menjadikan diri kita lembab dan tiada semangat bersaing untuk mencapai kejayaan. Kita sebenarnya bukan setakat kita yang sekarang ini. Saya ulangi, kita bukan setakat kita! Kita adalah lebih daripada kita yang sekarang ini. Maksudnya di sini, sekiranya anda tergolong dalam golongan yang percaya kepada istilah “Menjadi Diri Sendiri”, bermakna anda mengehadkan keupayaan dan kebolehan diri anda sendiri. Anda sentiasa merasakan apa yang anda buat dan apa yang anda telah kecapi sudah cukup dalam hidup anda. Namun, bagi yang yakin dengan saya bahawa istilah itu tidak benar, bermakna anda tergolong dalam golongan yang sentiasa inginkan perubahan dalam hidup anda. Anda berani mencuba sesuatu kerana anda percaya anda mampu melakukannya. Ini kerana, bagi yang ingin berjaya, mereka amat memahami dan percaya dengan kebolehan diri sendiri. Mereka tahu mereka mampu melakukan apa sahaja dengan kebolehan yang mereka ada. Dahulu, saya tidak fikir saya mampu menulis karya-karya sebegini. Namun, kenapa kini saya mampu menulis karya sebegini panjang dengan memberikan idea-idea yang saya rasakan amat bernas walhal saya bukanlah belajar dalam aliran bahasa mahupun penulisan. Saya juga tidak pernah mengikuti kursus-kursus kaunseling untuk menjadi ahli-ahli motivasi. Ini kerana, saya percaya kepada diri saya sendiri. Saya mampu membuat apa sahaja dengan ciri-ciri serta kebolehan saya yang selama ini terpendam begitu sahaja. Apa yang saya perlukan untuk berubah hanyalah suatu angan-angan yang kuat beserta dengan suatu usaha ke arahnya. Suatu hari saya ingin menulis buku saya sendiri. Itu adalah angan-angan saya. Usaha saya adalah melatih diri menulis karya-karya seperti di dalam blog ini. Mudah bukan untuk berubah?


Sekarang saya akan mengupas lebih lanjut mengenai istilah “Menjadi Diri Sendiri”. Sebenarnya, tidak salah sekiranya kita menjadi orang lain. Kita bukan dayus sekiranya cuba menjadi orang lain dan tidak mahu menjadi diri sendiri. Ini kerana anda juga sebenarnya adalah saya, dan saya juga sebenarnya adalah anda. Kita manusia dilahirkan asalnya adalah sama sahaja. Namun, yang menentukan perbezaan sikap kita adalah persekitaran kita, pendidikan yang kita dapat, asuhan yang kita perolehi dan sebagainya. Silapnya hanyalah acuan yang kita terima, tetapi bukanlah menjadi satu alasan untuk mengatakan inilah diri kita. Sekiranya anda pendiam, bukanlah alasan untuk anda terus menjadi pendiam selama-lamanya. Sekiranya anda termasuk acuan yang menjadikan anda bodoh, bukanlah suatu alasan untuk anda terus menjadi bodoh. Inilah pentingnya untuk menjadi berbeza agar anda boleh keluar daripada kebiasaan.


Tips yang boleh membantu anda untuk berjaya adalah keluar daripada “zon selesa”. Apa-apa sahaja yang anda buat dalam hidup ini yang keluar daripada zon selesa, itu dinamakan kejayaan. Sekiranya anda rasa selesa menjadi sekadar Top 10 dalam kelas, cubalah keluar daripada zon tersebut dan jadilah no 1. Sekiranya anda rasa sudah selesa hidup dalam rumah teres 2 tingkat, cubalah keluar daripada zon tersebut dan tinggallah dalam rumah banglo yang lebih luas. Andai anda rasa selesa bergaji RM2000 sebulan, cubalah keluar daripada zon tersebut mencari gaji yang lebih tinggi. Ini kerana, zon selesalah yang akan terus memerangkap anda supaya terus hidup dalam keadaan diri anda sekarang ini. Jika berterusan begini, sampai bilakah anda mampu mengubah hidup anda menjadi lebih berjaya?


Kesimpulannya, kita semua sebenarnya mempunyai peluang yang sama rata untuk memperolehi kejayaan dalam hidup. Allah SWT Maha Adil. Dia membekalkan kita dengan keperluan yang mencukupi dan sama rata untuk kita gunakan. Namun, yang menentukan tahap perbezaan setiap manusia itu adalah usaha mereka sendiri. Jangan salahkan sesiapa sekiranya anda tidak berjaya kerana anda sebenarnya sudah ada ciri-ciri yang diperlukan seseorang untuk berjaya tetapi anda tidak gunakannya. Perumpamaannya adalah seperti, tidak salah sekiranya anda ingin mengatakan yang saya mempunyai sifat-sifat seorang penjahat, pembunuh, perogol atau apa sekalipun. Ini kerana sifat-sifat tersebut memang ada dalam diri saya tetapi tidak saya gunakannya. Jadi, menjadi tanggungjawab diri sendiri untuk menentukan hala tuju diri anda. SEMUA BEKALAN TELAH DISEDIAKAN. ANDA HANYA PERLU MEMILIH YANG PERLU SAHAJA!


Sekian Terima Kasih.


You will be static person if you be yourself forever! But, to be dynamic and productive you have to be different, think different, and act differently!


Satu lagi karya Mohdhanis

9/12/2007

Nantikan karya seterusnya “Bersatu Kita Roboh, Bercerai Kita Teguh!”

Marah Itu Sampah Perasaan!!!

Kenapa kita perlu marah? Kenapa kita mesti emosional? Kenapa kita mesti biarkan diri kita dan pemikiran kita berada dalam keadaan yang tidak tenang sedangkan kita mempunyai pilihan untuk memberi keselesaan terhadap diri sendiri? Adakah kita perlukan pihak lain untuk mengawal tingkah-laku dan corak kehidupan kita seharian?

Bukankah kita dianugerahkan akal untuk menentukan apa yang terbaik buat diri kita sendiri?


Emosi adalah suatu sikap dan marah adalah suatu perasaan dalam diri setiap manusia. Namun, emosi dan perasaan marah ini adalah suatu pilihan dan bukannya suatu ketetapan bagi setiap manusia. Sekiranya hati kita disakiti sebenarnya kita mempunyai pilihan sama ada untuk mengeluarkan perasaan marah tersebut ataupun membiarkan perasaan itu berlalu pergi begitu sahaja. Percayalah bahawasanya, tidak begitu susah untuk kita mengukir sebuah senyuman di kala kita merasa begitu marah. Yang menjadi masalahnya, kita terlalu mengikut emosi dan membiarkan perasaan ego menyelubungi diri kita. Itu yang menjadikan perasaan marah itu semakin menebal dan seterusnya menutup ruang untuk diri kita mengukir senyuman.


Apabila anda merasa marah, mungkin pemikiran sebegini boleh membantu anda. Mula-mula anda anggapkan perasaan marah itu sebagai sebuah objek yang biasa anda biarkan iaitu “sampah”. Kemudian, anda bayangkan diri anda melukis sebuah kotak yang besar. Seterusnya, anda ambillah “sampah” tersebut dan masukkan ke dalam kotak tersebut lalu tendanglah atau tolaklah kotak itu jauh dari hidup anda. Sekarang lihat, anda telah membuang satu masalah daripada menyemakkan hidup anda. Percaya atau tidak terpulanglah kepada anda sama ada ingin mencuba ataupun tidak.


Kenapa kita mesti marah sedangkan kita tahu amatlah tidak seronok berada dalam situasi begitu? Kebiasaannya kita akan marah apabila hak kita diganggu, kebebasan kita disekat atau yang paling kerap terjadi kerana kita dikritik, dihentam atau diekspoitasi oleh pihak lain. Kita tinggalkan isu hak dan kebebasan tetapi mari kita berbincang tentang kritikan dan ekspoitasi.


Sebenarnya tidak salah kita dikritik atau dieksploitasi oleh mana-mana pihak kerana dengan cara tersebutlah kita dapat melihat kelemahan diri kita dan seterusnya memikirkan cara untuk mengubah diri kita. Namun, yang menjadi masalahnya, kita tidak memberi ruang kepada diri sendiri untuk dikritik dan diekspoitasi. Kita terlalu mengharapkan pujian diberikan sehinggakan kita asyik dengan kata-kata tersebut. Sudah lumrah kehidupan alam, setiap perkara itu mestilah ada keseimbangannya. Begitu juga dengan diri kita sendiri. Kita tidak boleh mengharapkan pujian sahaja tetapi kita juga perlu mengharapkan kepada kritikan. Jika tidak, tiadalah kemanisan hidup. Selagi kita hidup, janganlah kita menanti pujian orang kerana kebiasaannya kita jarang mendapat pujian selagi kita masih hidup. InsyaAllah, setelah kita meninggal akan ramailah yang akan memuji kebaikan kita.


Di saat kita merasa begitu tertekan dek kerana dikritik atau dieksploitasi, mengapa tidak kita jadikan tekanan itu sebagai pendorong untuk kita memajukan diri sendiri. Dan, di ketika kita berasa begitu marahkan seseorang, kenapa tidak kita mengubah tanggapan terhadap si dia dengan mencari kebaikan dirinya. Ya, mungkin dia jahat, tetapi sejahat-jahat manusia masih mempunyai sifat baik dan mahu berubah menjadi insan mulia.


Akhir kata, janganlah kita biarkan diri kita terlepas daripada menikmati keseronokan kerana sifat marah itu akan membunuh segala kegembiraan yang sewajarnya kita nikmati.

Ingatlah pesanan ini;


“Perasaan itu suatu Pilihan, Bukan suatu Ketetapan”.


Satu lagi karya Mohdhanis

21/11/2007

Nantikan karya seterusnya “Bersatu Kita Roboh, Bercerai Kita Teguh!”

Rich Dad, Poor Dad!

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera!


Alhamdulillah, sekali lagi aku berkesempatan untuk menceritakan sesuatu dalam blog aku ini. Kali ni, aku terbuka hati untuk berkongsi sedikit ilmu yang aku ada bersama kamu semua. Aku tidak mengharapkan pendapat kamu semua setelah baca blog ini, cume culuplah sekadar sekiranya kamu semua dapatlah mengambil sedikit masa untuk membuat renungan terhadap apa yang kamu semua sedang lakukan dan apa yang kamu rancang untuk masa hadapan. Amat penting untuk kita rancang hidup kita kerana kita bukan hendak hidup setahun dua sahaja. Apa yang kita lakukan hari ini menentukan apa yang akan berlaku pada hari esok dan hari-hari yang seterusnya.


Beberapa hari yang lepas aku berkesempatan untuk membaca sebuah buku motivasi yang ditulis oleh penulis terkenal iaitu Robert T. Kiyosaki bertajuk “RICH DAD, POOR DAD”. Walaupun buku ini sudah bertahun berada di pasaran, tetapi baru kali ini aku berkesempatan membacanya. Apa yang ingin aku ceritakan di sini adalah, buku ini amat menarik perhatian aku. Hanya beberapa helai aku baca telah membuatkan aku terus “sangkut” dan membacanya hingga tamat. Buku ini memang mengiyakan segala apa yang aku telah buat dan sedang lakukan selama ini. Atas dasar itulah aku dapat membaca buku ini dengan tekun sehingga dapat membuat sedikit rumusan seperti di bawah.


Buku ini telah membuka beberapa persoalan di mana antaranya keberkesanan sistem persekolahan, kitaran hidup kita, perbezaan pendapat antara yang kaya dengan yang terpelajar serta pelbagai lagi. Di sini, mungkin aku tidak dapat menjelaskan semuanya jadi sekiranya kamu semua tertarik dengan apa yang aku sampaikan selepas ini, mungkin kamu semua boleh membaca sendiri buku tersebut. Menurut Robert T. Kiyosaki, kitaran hidup yang sedang dijalani oleh 90% penduduk bumi ini digelar sebagai “Rat Race”. Sekiranya kamu semua renungkan, setiap daripada kita ini sedang melakukan rutin harian dan matlamat hidup yang sama sahaja. Bermula daripada datuk moyang kita, ibu bapa kita, seterusnya kita juga melakukan perkara yang sama sehinggalah ke anak cucu kita kemudiannya. Isu yang hendak ditegaskan di sini adalah berkenaan kesenangan dan kesusahan hidup.

Jadi marilah kita sama-sama lihat adakah selama ini kita turut sama terperangkap dalam “Rat Race”. Pernah atau tidak ibu bapa kamu semua berpesan supaya belajar bersungguh-sungguh dan kuat agar kamu semua dapat kerja yang terjamin dan gaji yang lumayan? Bukankan itu semua nasihat yang berguna dan amat baik sekali pada pandangan kamu semua? Bahkan, kerajaan sendiri amat menitikberatkan pendidikan dalam diri setiap rakyat agar setiap graduan yang lahir mampu memperolehi kerja yang baik serta mengurangkan kadar pengangguran. Tetapi, apa reaksi kamu semua sekiranya aku katakan semua nasihat tersebut merupakan nasihat yang sangat tidak baik dan tidak dapat membantu menjamin kejayaan anak-anak di masa hadapan? Pelik bukan? Aku tidak pelik sekiranya kamu semua rasa pelik dengan kenyataan aku tadi. Itu semua adalah lumrah kerana aku pun pernah tergolong dalam pemikiran seperti kamu sekarang. Namun, setelah aku membaca buku tersebut aku bertambah yakin keputusan aku menolak tawaran sambung belajar tersebut adalah keputusan yang tepat.

Mengapa aku kata demikian? Ini kerana, untuk pengetahuan kamu semua, apa yang kita selama ini buat hanyalah belajar dan mengharapkan kerjaya stabil yang masih belum terjamin sama ada masih ada ruang atau tidak untuk kita suatu hari nanti disebabkan perkembangan ekonomi ini berkadar langsung dengan pertambahan penduduk. Di sini, aku lebih tertarik untuk mengupas persoalan sekiranya kamu semua berjaya memperolehi kerja yang diidamkan kerana itulah maksud yang hendak disampaikan melalui buku tersebut. Persolan saya di sini, apakah kerjaya yang anda inginkan dan berapakah anggaran pendapatan yang anda impikan? Tepuk dada tanya sendiri! Sebenarnya, kamu semua perasan ataupun tidak, ibu bapa kita sibuk bertungkus lumus kerja keras semata-mata untuk mendapat gaji di hujung bulan? Semua yang dilakukan adalah untuk meneruskan kelangsungan hidup serta membesarkan kita. Sekiranya jumlah yang diperolehi sudah tidak mencukupi lagi disebabkan keperluan hidup meningkat, akan adalah yang cuba melakukan pelbagai cara untuk meningkatkan pendapatan. Sesetengah orang akan sibuk melobi diri sendiri untuk kenaikan pangkat dan gaji, ada yang melakukan kerja “part-time”, dan ada juga yang sanggup sambung belajar untuk membuat “specialization” dalam bidang berkaitan kononnya untuk mendapatkan pendapatan yang lebih tinggi seperti yang dilakukan oleh doctor, akauntan, jurutera dan sebagainya. Idea tentang “specialization” atau dalam Bahasa Melayunya “pengkhususan” sememangnya amat popular di institusi pengajian dan juga tempat kerja. Sebab itulah, ramai pensyarah yang sudah bijak masih sanggup sambung belajar hingga peringkat PhD semata-mata untuk kenaikan pangkat dan gaji. Ya, aku akui semua ini adalah benar. Kamu akan dapat kenaikan yang diidamkan tetapi sekiranya kamu bernasib baik. Actually, the more specialized you become, the more you are trapped and dependent on that specialty. Itulah kenyataannya yang perlu kamu sedar. Sekiranya kamu sebagai doktor sudah “specialize” dalam bidang “orthopedic” maka dalam bahagian itu sahajalah kamu akan terus bekerja. Apa akan terjadi sekiranya terlalu ramai doktor yang membuat pengkhususan dalam bidang tersebut sehinggakan jumlah doktor melebihi jumlah tenaga kerja yang diperlukan di setiap hospital? Bukankan ini akan merungsingkan anda sekiranya khidmat anda tidak diperlukan lagi? Jadi, apa yang anda hendak buat seterusnya dalam hidup? Fikir-fikirkan!


Seterusnya, mari kita berbincang dalam aspek ekonomi dan kewangan pula. Sebentar tadi kita bercerita tentang mendapat kerjaya yang bagus dan gaji yang tinggi. Sekarang, mari kita lihat apakah realitinya sekiranya kamu semua berjaya mendapat semua itu. Untuk pengetahuan kamu, realiti kisah hidup pekerja makan gaji adalah serupa. Tiada bezanya sama ada kamu berjaya mendapat kerja yang baik serta gaji yang lumayan berbanding dengan mereka yang kerja di syarikat kecil dan bergaji kecil. Ini kerana, segala yang kamu lakukan itu hanyalah semata-mata untuk membayar cukai kepada kerajaan. Semakin tinggi pendapatan kamu, semakin tinggilah jumlah cukai atas pendapatan yang perlu kamu bayar. Jumlah hutang turut meningkat. Inilah realiti yang tidak semua orang dapat melihatnya. Aku bagi perbezaan di bawah ini agar kamu semua dapat membuka mata tentang realiti orang berniaga dengan orang yang bekerja untuk orang lain.


The RICH with corporations.

  1. Earn
  2. Spend
  3. Pay taxes

People who work for corporations.

  1. Earn
  2. Pay taxes
  3. Spend

Kesimpulan daripada perbezaan di atas kita dapat melihat bahawa, sekiranya kamu bekerja makan gaji jumlah pendapatan bersih kamu adalah setelah kamu membayar segala cukai termasuklah cukai pendapatan, kad kredit, ansuran rumah dan kereta, segala bil, dan macam-macam lagi. Jadi yang tinggal untuk dibelanja hanyalah baki setelah tolak kesemuanya, itupun sekiranya masih ada. Bagi yang berpendapatan tinggi mungkin akan mengatakan baki mereka masih banyak tetapi hakikatnya semakin tinggi pendapatan kamu, secara automatiknya semakin banyaklah cukai pendapatan serta jumlah tanggungan kamu. Sudah tentu kamu mengidamkan rumah yang lebih luas dan selesa serta kereta yang besar. Hal ini menyebabkan, jumlah bayaran ansuran menjadi lebih tinggi. Daripada bercita-cita hendak meninggalkan harta yang banyak untuk anak-anak, akhirnya yang diwarisi hanyalah hutang yang tidak berkesudahan.

Walaubagaimanapun, tidak seperti golongan peniaga. Mereka hanya membayar cukai setelah segala perbelanjaan diselesaikan. Cukai yang perlu mereka bayar hanyalah cukai pendapatan. Sekiranya baki yang tinggal sedikit, maka semakin sedikitlah jumlah cukai yang perlu dibayar. Mungkin ramai yang membaca sedang keliru atau tidak faham apa yang saya sedang katakan. Ini disebabkan, sistem pembelajaran kita selama ini hanya menumpukan bagaimana untuk mendapat kerjaya yang selamat tetapi kita tidak pernah diajar mengenai aspek perakaunan dan kewangan. Tetapi, itulah hakikatnya dimana golongan yang lebih banyak menghabiskan duit membayar cukai bukanlah golongan yang kaya tetapi mereka yang miskin dan berpendapatan rendah. (Golongan kaya di sini merujuk golongan mereka yang berniaga).


Daripada apa yang dapat kita lihat, sistem persekolahan kita selama ini merupakan sistem pembelajaran yang kuno yang tidak cukup memberi kita persediaan menghadapi dunia yang nyata. Dunia sudah berubah tetapi sistem pembelajaran tidak mampu seiring dengan perubahannya. Mahukah kita peruntukkan beberapa tahun lagi mengikuti sistem pembelajaran ini , belajar subjek-subjek yang secara terang tidak akan kita praktikkan kesemuanya samata-mata untuk menyiapkan diri menghadapi dunia yang sudah tidak wujud lagi? Dunia semakin pesat, jadi persiapan penting yang perlu ditanam dalam diri kita dan anak-anak adalah mengenai “financial intelligence”. Financial Intelligence is a synergy of accounting, investing, marketing and law. Combine those four technical skills and making money with money is easier. Sebenarnya, untuk memperolehi kekayaan bukanlah melalui “work hard” tetapi melalui kebijaksanaan kita sendiri bagaimana hendak membuatkan duit bekerja untuk kita, bukannya kita bekerja untuk duit. Segala yang baik datangnya dari Allah SWT dan yang buruk datangnya dari kelemahan diri aku sendiri. Sebelum aku menamatkan tulisan aku ini, aku hendak kamu renungkan petikan di bawah agar kita sama-sama dapat iktibar.


Don’t be like a little hamsters running around in those little metal wheels. Their little furry legs are spinning furiously, the wheel is turning furiously, but come tomorrow morning they’ll still be in the same cage; great job!


Ayah yang terpelajar tetapi miskin akan nasihatkan anaknya berkerjalah untuk syarikat yang baik, Ayah yang kaya akan nasihatkan anaknya binalah syarikat yang baik!


Satu lagi karya MohdHanis


Percutian ke Bandung, Indonesia

Percutian ke Bandung, Indonesia



P7274963_1

Assalamualaikum..

bertemu kita kembali setelah sekian lama saya tidak mengisi ruangan blog ini. Pada kali ini saya ingin berkongsi pengalaman serta keseronokan saya ketika percutian ke Bandung baru-baru ini. InsyaAllah saya akan cuba sebaik mungkin mengarang cerita ini agar semua pembaca turut merasai keseronokan yang saya alami sepanjang berada di sana.

Tanggal 26 Julai 2007 baru-baru ini buat pertama kalinya saya menjejakkan kaki ke ibu kota Bandung. Percutian ini turut disertai oleh kedua ibu bapa saya, kakak dan bapa saudara beserta isterinya. Kami berlepas dari Terminal LCC dengan menaiki pesawat Air Asia, Boeing 737 pada pukul 8.00 pagi waktu Malaysia dan tiba di P7295096_2Lapangan Terbang Bandara Husein Sastranegara Bandung tepat pukul 8.45 pagi waktu tempatan( 9.45 pagi waktu Malaysia). Ketika tiba di sana, kami dimaklumkan bahawa suhu di luar adalah 17˚C. Kami berasa sungguh teruja dan tidak sabar untuk menjejakkan kaki buat pertama kalinya. Sebaik sahaja kami keluar dari pesawat terasa udaranya yang begitu dingin. Sememangnya sangat berbeza dengan suhu di Malaysia.

Ketibaan kami sememangnya telah dinantikan oleh supir yang kami panggil dengan nama Ayee. P7295087Destinasi kami yang pertama pada hari tersebut adalah mencari tempat penginapan iaitu di Villa Puri Larasati, Jalan Kanayakan Lama, Dago Atas yang berkonsepkan keluarga dan terletak tidak jauh dari kota Bandung. Setelah ‘check-in’ kami menuju ke sebuah kedai makan memandangkan perut pun sudah lapar. Menu kami yang pertama pada hari itu adalah Nasi Padang. Walaupun pernah dengar mengenai Nasi Padang tapi itulah kali pertama saya melihat dan merasainya. Sama ada perut yang sudah lapar atau memang masakannya sedap, namun saya menjamahnya dengan penuh berselera sekali.

Kemudian tanpa membuang masa kami terus menuju ke destinasi seterusnya iaituP7264894_15 Pasar Baru yang merupakan pendorong utama kedatangan kami ke ibu kota Bandung. Pasar Baru merupakan pusat utama penjualan barangan keluaran rakyat tempatan berada dalam sebuah bangunan setinggi 8 tingkat. Sebaik melangkah ke dalam Pasar Baru, saya seolah-olah terasa berada di dalam Pasar Khadijah, Kota Bharu, Kelantan dan Pasar Payang di Kuala Terengganu kerana konsepnya hampir sama dari segi susunan kedai dan jumlah pengunjung yang tidak putus-putus. Bezanya, ketika di Pasar Baru saya seolah-olah menjadi orang kaya baru kerana berpeluang memegang duit ratusan ribu. Selain itu, harga pakaian dan barangan lain di sana sangat murah dibandingkan dengan kualitinya yang tinggi. Bayangkan anda berpeluang membeli seluar jeans ‘original’ dengan harga puluhan ringgit sahaja berbanding di Malaysia yang harganya mampu mencecah ratusan ringgit.

Kemesraan yang ditunjukkan oleh setiap peniaga di sana merancakkan lagi keseronokan membeli-belah. Ditambah pula dengan kepuasan ‘mencuci mata’ cewek-cewek di sana, terasa hilang segala kepenatan walaupun hampir 3 jam kami ‘shopping’ di sana. Namun, hari pertama saya cuma sempat membeli sehelai baju ala Punjabi kerana lebih banyak ‘survey’ dari membeli.

P7264896

Pukul 3 petang, setelah selesai menunaikan solat di surau tingkat atas Pasar Baru, kami bergerak ke sebuah lokasi yang terkenal dengan pelbagai jenis barangan kulit seperti beg, dompet, kasut dan pelbagai lagi. Harga setiap barangan di sana juga jauh amat murah dibandingkan di Malaysia.

Pukul 5 petang menuju pula ke Rumah Mode iaitu salah sebuah ‘Factory Outlet’. Menurut Ayee, di kota Bandung terdapat begitu banyak ‘Factory Outlet’ iaitu hampir di setiap jalan di bandar tersebut. Di ‘Factory Outlet’ kita boleh mencari pelbagai jenis barangan berjenama dengan harga yang amat murah kerana semuanya ‘direct’ dari kilang. Bagi yang terasa letih setelah seharian ber”shopping’ bolehlah ke rumah urut di situ. Urutan bagi refleksiologi cuma sebanyak 32,000 rupiah iaitu lebih kurang RM13 selama sejam. P7264933Setelah penat berjalan dan ber’shopping’, perut pun sudah lapar kami segera ke Warung Nasi Ampera makanan kaum Sunda atau lebih senang digelar Makanan Sunda. Menariknya, makanan ini disertakan dengan pelbagai jenis ulaman seperti kubis, sawi, terung kecil, tempe dan sebagainya tetapi kurang berkuah. Sambal terasi/belacannya yang pedas manis menambahkan lagi selera makan pada malam itu. Setelah selesai kami terus pulang ke villa untuk berehat.

Keesokan paginya, kami keluar pada pukul 8.30 pagi. Memandangkan pada waktu itu kedai masih tutup, Ayee membawa kami melawat ke sebuah bangunan tinggalan sejarah yang kini menjadi Kantor Gabernur Jawa Barat dan terletak bersebelahan Dataran Bambu Runcing. Seterusnya, kami menuju ke Jeans Street iaitu lokasi tumpuan bagi yang bercadang untuk mencari pelbagai jenis pakaian jeans. Sambil ber’shoping’ saya sempat mencuba sejenis makanan tempatan iaitu Batagor. Rasanya sungguh enak sekali dengan bayaran 5000 rupiah sepinggan. Sempat juga saya ‘tergoda’ dengan pujuk rayu seorang penjual jalanan agar membeli pen buluh yang dijadikan cenderahati. Daripada 20,000 rupiah untuk 10 batang dapatlah saya tawar menjadi 15,000 rupiah untuk 20 batang. Okeylah tu untuk jadikan hadiah pada kawan-kawan.

Pukul 12.30, kami sekali lagi menuju ke Pasar Baru memandangkan semalam belum puas ‘shopping’ di sana. Bayangkanlah, pasar 8 tingkat hendak ‘round’ dalam sehari, manalah cukup. Mula-mula kami menunaikan solat sebelum ke ‘foodcourt’ untuk mengisi perut. Saya memilih untuk makan nasi Timbel iaitu makanan Sunda yang dibungkus dengan daun pisang beserta jus Alpokat iaitu sejenis jus buah Avocado dicampur dengan perisa Mocha.

Hari ini, saya cuma sempat pusing satu tingkat di bawah sahaja. Itupun masih belum habis lagi memandangkan begitu banyak kedai di setiap tingkat. Lebih kurang pukul 6 petang, kami keluar dari dari sana dan menuju ke ‘Factory Outlet’ yang lain iaitu Terminal Tas dan juga FORMEN yang terletak bersebelahan antara satu sama lain. FORMEN merupakan kedai yang khusus menjual pakaian dan barangan lelaki sahaja. P7274980_1P7274993Malam itu, kami memilih untuk makan makanan Acheh di Pujasera DU 21. Di sana anda boleh memesan pelbagai jenis minuman seperti jus Alpokat, jus jeruk kelapa, jus timun, jus tomat dan sebagainya. Kali ini saya memilih Nasi Goreng Acheh Special bersama jus laici. Rasanya sungguh enak sekali. Kami menuju pulang ke Villa Puri Larasati setelah selesai menjamu selera. Kepenatan yang dirasai kami terjemahkan ke atas katil.

P7285024_3Hari ketiga, kami keluar awal pagi iaitu pada pukul 8 pagi untuk menuju ke Taman Wisata Alam, Gunung Tangkuban Perahu, Bandung-WEST JAVA. Kami memilih untuk pergi pada hari ini memandangkan hari ini hari Sabtu. Pada hari ini, orang-orang dari Jakarta dan tempat yang lain akan turun ke Bandung untuk bercuti di samping pergi ‘shopping’ yang menyebabkan keadaan lalu lintas di sekitar ibu kota menjadi amat sibuk dan padat. Sebelum pergi kami sempat ke pusat ‘Money Changer’ memandangkan duit rupiah kami hampir habis dek kerana sakan ber’shopping’.

Perjalanan ke puncak mengambil masa kira-kira sejam sahaja. Ini kerana Ayee membawa kami melalui jalan dalam iaitu jalan alternatif untuk menuju ke sana. Menurutnya, hanya orang Bandung sahaja yang mahir selok-belok jalan tersebut menyebabkan masa yang sepatutnya hampir 2 jam melalui lebuhraya dapat disingkatkan. Sepanjang perjalanan kami dapat melihat pemandangan yang cantik sekali di sekitar lereng pergunungan ditambah pula udaranya yang segar. Hati rasa terpahat seolah-olah ingin saja menetap terus di perkampungan sana. Kami tiba di Gunung Tangkuban PP7285033_4 erahu lebih kurang pukul 11 pagi waktu tempatan. Setiap pengunjung dikenakan bayaran sebanyak 10,000 rupiah sekali masuk.

P7285031Seperti sudah kelaziman di sana, ketibaan kami disambut dengan puluhan peniaga jalanan yang menawarkan pelbagai jenis barangan seperti ‘key-chain’, replika kapal, pen buluh, dan banyak lagi. Gelagat mereka yang ‘muka tebal’ untuk terus mengekori kami sambil menunjukkan barangan yang dijual kadang-kala terasa lucu dan kadang-kala terasa geram pun ada. Hajat untuk membeli satu set busar dan anak panah yang diperbuat daripada buluh terpaksa dimatikan gara-gara risau tidak lepas di ‘airport’ nanti. Keadaan di Gunung Tangkuban Perahu lebih sejuk lagi dibandingkan dengan di ibu kota Bandung. Sepanjang di Bandung ini, amat jaranglah untuk saya berpeluh memandangkan udaranya yang terasa sungguh nyaman. Setelah puas bergambar dan bersiar-siar di sekitar puncak dan deretan kedai kami pun beredar dari sana. Saya memilih replika kapal yang dapat dikurangkan dari 80,000 rupiah kepada 25,000 rupiah untuk dijadikan kenang-kenangan sebagai bukti sudah tiba di puncak Gunung Tangkuban Perahu.

Destinasi seterusnya adalah Sari Ater Hot Spring Resort yang terletakP7285071_2 tidak jauh dari Gunung Tangkuban Perahu. Bayaran masuknya Cuma 90,000 rupiah untuk 7 orang iaitu sekitar 13,000 rupiah seorang. Di sini, pengunjung boleh merasai sendiri kehangatanP7285063_7 kolam air panas bagi melancarkan peraliran darah serta menghilangkan keletihan. Saya berasa bertuah kerana dapat merasai sendiri kehangatan airnya walaupun hanya merendamkan kaki sahaja.

Setelah puas, kami pun beredar dari sana untuk mencari gerai makanan memandangkan jam pun sudah menunjukkan lebih kurang pukul 2 petang. Sekali lagi, menu kami pada hari itu adalah makanan Sunda. Saya turut memesan jus strawberi memandangkan banyak buah strawberi yang ditanam di sekitar pergunungan itu.

Selesai makan, kami pun bertolak pulang ke ibu kota Bandung dan langsung ke Pasar Baru memandangkan jam baru menunjukkan pukul 4 petang. Memandangkan ini hari terakhir saya di sini sebelum pulang keesokan harinya, saya tidak mahu membuang begitu banyak masa lagi untuk membeli barangan yang patut. Pada hari itu, keadaan Pasar Baru sungguh sesak dengan pengunjung disebabkan hari cuti. Oleh kerana Pasar Baru dibuka hingga pukul 5.30 petang sahaja maka saya tidak sempat membeli banyak barang. Duit di tangan pun masih banyak lagi kira-kira 200 ribu lebih. Itulah akibatnya kalau terlalu memilih akhirnya tidak sempat langsung ber’shoping’. Menariknya di Bandung ini, untuk berbelanja 5,000 rupiah terasa sangat banyak tetapi untuk berbelanja RM2 di Malaysia terasa sungguh ringan. Itulah yang menyebabkan wujudnya keseronokan dalam tawar-menawar bersama peniaga di sana. Malam itu kami dibawa makan malam di restoran Bakso Kota yang terkenal dengan resipi bakso dari Malang, Surabaya. Selesai makan kami pun pulang ke Villa Puri Larasati untuk mengemas barang dan berehat.

29 Julai 2007, hari terakhir kami di Bandung. Terasa sungguh berat untuk ke ‘airport’. Empat hari di Bandung terasa sungguh cepat berlalu. Kami ‘check-out’ pada pukul 7 pagi dan terus ke ‘airport’. Pesawat Air Asia Boeing 737 berlepas lebih kurang pukul 9.30 pagi waktu tempatan dan tiba di Terminal LCC pada pukul 12.15 tengah hari waktu Malaysia.

Bagi yang mempunyai perancangan untuk bercuti, saya berani mengesyorkan Bandung sebagai salah satu pilihan utama anda. Sekian..