Saturday, July 12, 2008

Jangan Jadi Diri Sendiri!!!


Assalamualaikum WBT! Selamat sejahtera semua…


Bertemu lagi kita seperti yang telah saya janjikan dalam karya sebelum ini. Diharap karya saya pada kali ini dapat ditulis dengan lebih teliti, padat dan mampu menarik minat lebih ramai pembaca. Dalam karya saya pada kali ini, saya akan cuba memberikan kelainan dalam idea saya yang mana ini mungkin akan membuatkan anda semua termenung sejenak dan kemudiannya mengiayakan kata-kata saya. Jika diperhatikan dalam karya-karya saya yang sebelum ini pun, anda semua boleh melihat di mana saya cuba mengetengahkan idea-idea yang lain daripada yang lain atau jarang diperbincangkan. Ini kerana, saya cuba mengajak anda semua supaya menjadi insan yang mahu berfikir dan berani mempersoalkan sesuatu. Bukan sekadar menjadi insan yang hanya tahu mengangguk dan menerima setiap perkara yang ditetapkan. Amatlah penting untuk kita menjadi insan yang berbeza daripada yang lain untuk mencapai kejayaan dalam hidup kita ini.


Mungkin ada yang mempersoalkan kenapa kita mesti menjadi berbeza ? Bukankah kita sepatutnya bangga menjadi diri kita sendiri. Jika anda tanya kepada saya, jawapan saya adalah siapa diri anda yang sebenarnya ? Adakah anda benar-benar mengenali diri anda ? Anda banggakah menjadi diri anda selama ini ? Sudah berapa banyakkah kejayaan yang anda perolehi selama ini dengan menjadi diri anda itu? Bagi yang merasa dirinya sudah berjaya, cukupkah kejayaan anda itu? Tidakkah anda mahukah yang lebih daripada itu? Bagi yang ingin berfikir, teruskan membaca.


Sebenarnya, tiada istilah “Menjadi Diri Sendiri” dalam hidup ini mengikut pendapat saya. Ini kerana, kita mempunyai kesemua ciri-ciri yang diperlukan untuk menjadi siapa sahaja yang kita mahukan. Bergantung kepada individu itu sendiri untuk menentukan corak kehidupan yang mereka mahu lalui berdasarkan kesemua ciri-ciri dan sifat-sifat yang sememangnya telah tertanam dalam diri masing-masing. Maksud menjadi berbeza seperti yang saya sebutkan sebentar tadi adalah untuk merujuk kepada lari daripada kebiasaan. Kita selama ini diibaratkan seperti sebuah komputer yang telah diprogramkan agar berfungsi mengikut arahan atau peraturan yang telah ditetapkan. Namun, kita lupa, kita dijadikan oleh Allah SWT untuk berfikir dan membawa pembaharuan kepada dunia ini agar sama-sama dapat menikmati kemakmuran dan kenikmatan hidup di dunia ini.


Istilah “Menjadi Diri Sendiri” ini sebenarnya telah banyak merosakkan diri kita menjadikan diri kita lembab dan tiada semangat bersaing untuk mencapai kejayaan. Kita sebenarnya bukan setakat kita yang sekarang ini. Saya ulangi, kita bukan setakat kita! Kita adalah lebih daripada kita yang sekarang ini. Maksudnya di sini, sekiranya anda tergolong dalam golongan yang percaya kepada istilah “Menjadi Diri Sendiri”, bermakna anda mengehadkan keupayaan dan kebolehan diri anda sendiri. Anda sentiasa merasakan apa yang anda buat dan apa yang anda telah kecapi sudah cukup dalam hidup anda. Namun, bagi yang yakin dengan saya bahawa istilah itu tidak benar, bermakna anda tergolong dalam golongan yang sentiasa inginkan perubahan dalam hidup anda. Anda berani mencuba sesuatu kerana anda percaya anda mampu melakukannya. Ini kerana, bagi yang ingin berjaya, mereka amat memahami dan percaya dengan kebolehan diri sendiri. Mereka tahu mereka mampu melakukan apa sahaja dengan kebolehan yang mereka ada. Dahulu, saya tidak fikir saya mampu menulis karya-karya sebegini. Namun, kenapa kini saya mampu menulis karya sebegini panjang dengan memberikan idea-idea yang saya rasakan amat bernas walhal saya bukanlah belajar dalam aliran bahasa mahupun penulisan. Saya juga tidak pernah mengikuti kursus-kursus kaunseling untuk menjadi ahli-ahli motivasi. Ini kerana, saya percaya kepada diri saya sendiri. Saya mampu membuat apa sahaja dengan ciri-ciri serta kebolehan saya yang selama ini terpendam begitu sahaja. Apa yang saya perlukan untuk berubah hanyalah suatu angan-angan yang kuat beserta dengan suatu usaha ke arahnya. Suatu hari saya ingin menulis buku saya sendiri. Itu adalah angan-angan saya. Usaha saya adalah melatih diri menulis karya-karya seperti di dalam blog ini. Mudah bukan untuk berubah?


Sekarang saya akan mengupas lebih lanjut mengenai istilah “Menjadi Diri Sendiri”. Sebenarnya, tidak salah sekiranya kita menjadi orang lain. Kita bukan dayus sekiranya cuba menjadi orang lain dan tidak mahu menjadi diri sendiri. Ini kerana anda juga sebenarnya adalah saya, dan saya juga sebenarnya adalah anda. Kita manusia dilahirkan asalnya adalah sama sahaja. Namun, yang menentukan perbezaan sikap kita adalah persekitaran kita, pendidikan yang kita dapat, asuhan yang kita perolehi dan sebagainya. Silapnya hanyalah acuan yang kita terima, tetapi bukanlah menjadi satu alasan untuk mengatakan inilah diri kita. Sekiranya anda pendiam, bukanlah alasan untuk anda terus menjadi pendiam selama-lamanya. Sekiranya anda termasuk acuan yang menjadikan anda bodoh, bukanlah suatu alasan untuk anda terus menjadi bodoh. Inilah pentingnya untuk menjadi berbeza agar anda boleh keluar daripada kebiasaan.


Tips yang boleh membantu anda untuk berjaya adalah keluar daripada “zon selesa”. Apa-apa sahaja yang anda buat dalam hidup ini yang keluar daripada zon selesa, itu dinamakan kejayaan. Sekiranya anda rasa selesa menjadi sekadar Top 10 dalam kelas, cubalah keluar daripada zon tersebut dan jadilah no 1. Sekiranya anda rasa sudah selesa hidup dalam rumah teres 2 tingkat, cubalah keluar daripada zon tersebut dan tinggallah dalam rumah banglo yang lebih luas. Andai anda rasa selesa bergaji RM2000 sebulan, cubalah keluar daripada zon tersebut mencari gaji yang lebih tinggi. Ini kerana, zon selesalah yang akan terus memerangkap anda supaya terus hidup dalam keadaan diri anda sekarang ini. Jika berterusan begini, sampai bilakah anda mampu mengubah hidup anda menjadi lebih berjaya?


Kesimpulannya, kita semua sebenarnya mempunyai peluang yang sama rata untuk memperolehi kejayaan dalam hidup. Allah SWT Maha Adil. Dia membekalkan kita dengan keperluan yang mencukupi dan sama rata untuk kita gunakan. Namun, yang menentukan tahap perbezaan setiap manusia itu adalah usaha mereka sendiri. Jangan salahkan sesiapa sekiranya anda tidak berjaya kerana anda sebenarnya sudah ada ciri-ciri yang diperlukan seseorang untuk berjaya tetapi anda tidak gunakannya. Perumpamaannya adalah seperti, tidak salah sekiranya anda ingin mengatakan yang saya mempunyai sifat-sifat seorang penjahat, pembunuh, perogol atau apa sekalipun. Ini kerana sifat-sifat tersebut memang ada dalam diri saya tetapi tidak saya gunakannya. Jadi, menjadi tanggungjawab diri sendiri untuk menentukan hala tuju diri anda. SEMUA BEKALAN TELAH DISEDIAKAN. ANDA HANYA PERLU MEMILIH YANG PERLU SAHAJA!


Sekian Terima Kasih.


You will be static person if you be yourself forever! But, to be dynamic and productive you have to be different, think different, and act differently!


Satu lagi karya Mohdhanis

9/12/2007

Nantikan karya seterusnya “Bersatu Kita Roboh, Bercerai Kita Teguh!”

No comments: